Generasi Tunduk...



Kalau anda berjalan ke mana-mana, cuba perhatikan sekeliling anda...rata-rata individu memegang gajet...tidak kiralah telefon bimbit, tablet atau alat permainan video..kadang-kadang mereka begitu leka sampaikan tidak mempedulikan keadaan sekeliling...akibatnya komunikasi sesama individu semakin berkurangan...jika berlaku komunikasi pun, salah seorang masih leka memandang kaca gajet...(sedih bukan)

Tidak dapat kita nafikan zaman sekarang ini, keperluan celik teknologi adalah perlu...mana tidaknya, teknologi telah membantu memudahkan pelbagai urusan...

Daripada bangun tidur (alarm telefon bimbit berbunyi), masuk kenderaan (periksa mesej masuk atau info terkini di laman sosial), sampai di tempat kerja (melayari internet), pulang kerja (menonton video online) dan tidur (melayari laman sosial)...

Urusan komunikasi juga turut menjadi mudah, dengan hanya satu klik kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja di serata dunia...(tapi setuju atau tidak, jika Umi katakan teknologi ini boleh mendekatkan yang jauh tapi menjauhkan yang dekat)...mana tidaknya, terlalu asyik dengan gajet masing-masing sampai terlupa orang di sekeliling...(inilah yang dikatakan generasi tunduk)...

Justeru, adakah anda rasa, anda salah seorang generasi tunduk yang obses dengan gajet????...Mari periksa tanda-tanda di bawah....

Tanda-tanda bahawa anda obses dengan gajet....

  1. Merasa telefon bimbit seolah bergetar / berbunyi, padahal tidak.
  2. Membawa telefon bimbit/gajet ke mana sahaja anda pergi.
  3. Menggunakan telefon bimbit/gajet walaupun anda di bilik mandi.
  4. Gelabah apabila tiada Wifi atau sambungan internet atau kehabisan data. 
  5. Tidak boleh fokus kepada pekerjaan anda.
  6. Sering memikirkan update atau info terbaru yang perlu dimuatnaik ke laman sosial.
  7. Mendahulukan perhubungan komunikasi di telefon bimbit dan mengabaikan orang di sekeliling anda.
 Jika anda sudah ada tanda-tanda di atas, AWAS sebab anda mungkin merupakan salah seorang generasi tunduk....

Jadi Umi mulai sekarang tetapkan masa penggunaan gajet anda agar teknologi yang ada dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya...

Semoga bermanfaat...





Kisah Kek Pandan...


Lucu juga bila Umi kenangkan balik peristiwa ni...Bila difikirkan balik pasti akan senyum sorang-sorang nak-nak pulak bila jumpa kek pandan kat kedai kek...hehe

Kisahnya bermula bila hari tu Umi teringin sangat nak makan kek pandan...kebetulan masa tu memang nak singgah di Aeon Big untuk beli barang jadi sampai kat tempat kek tu Umi terperasan la label kek pandan tu...apa lagi terus Umi grab satu, Umi ada baca label pada kek tu...

Tapi sampai je kat rumah punyalah excited nak makan kek tu terus pergi dapur...haa...tau tak apa yang umi beli...

KEK VANILLA...hehe (nak tergelak masa tu bercampur dengan kecewa sebab hajat hati nak makan kek pandan)...tapi Umi potong jugalah kek tu dan makan...(kan dah beli membazir kalau tak makan)

Sebab tu umi post gambar kek vanilla walaupun tajuknya kek pandan...(hehe)....

Peristiwa ni buat Umi terfikir kadang-kadang dalam hidup ni benda yang tak masuk akal ni boleh terjadi...Umi yakin semua yang berlaku dalam hidup ni bukan satu kebetulan tapi memang dah ditakdirkan oleh Yang Maha Esa...

Nampak cerita ni simple, tapi sebenarnya ada hikmahnya...secara positifnya memang ditakdirkan rezeki Umi hari tu untuk makan kek vanilla...(sedap juga kek vanilla tu)...

Kita kena selalu ingat, apa yang datang dalam hidup ni adalah ketentuaannya walaupun terkadang hadir sebab kesilapan kita... (kita perlu usaha cari hikmahnya walaupun terkadang kita tidak nampak hikamahnya sekarang)...

Benarlah Allah beri apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu...

Umi pernah tonton dalam satu ceramah disampaikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin di mana beliau berkata BIASAKAN DIRI KITA TIDAK DIBERI OLEH ALLAH DARIPADA KITA MENDAPAT APA YANG KITA MAHUKAN... (ini tanda Allah suka dengar doa kita)....bahagianya kan...

Cukup rasa perkongsian kali ni...Semoga bermanfaat...



Mencari GREEN LIGHT...



Pernah atau tidak anda terfikir tentang perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan anda sekarang...

Kadang-kadang semasa kita termenung, banyak perkara yang kita fikirkan dan begitu juga kenangan-kenangan dalam memori yang diimbas kembali..pasti banyak suka dan duka..terfikir juga bagaimana kita melalui semua itu...akhirnya kita mengucap syukur atas pertolonganNya...Alhamdulillah inilah diri kita sekarang...walau kadang satu tahap kita mengeluh dan berkata tidak mungkin saya dapat menghadapi semua ini, tetapi dalam sujud wujud kekuatan yang Allah hadirkan sebuah ketenangan yang menbuat kita berasa jauh lebih tenang untuk menghadapi segala yang berlaku...itulah jiwa yang telah Redha...

Dalam hidup ini memang tidak lari dari ujian...namun satu yang kita pegang, semakin banyak dan kuat ujian yang datang, semakin sayang Allah pada kita (Alhamdulillah)...

Tahu tak persamaan ARANG dengan BERLIAN???

Kedua-duanya terdiri daripada karbon yang membezakannya adalah arang terhasil daripada tekanan yang biasa (sedikit) tetapi berlian terhasil daripada tekanan yang tinggi...nampak tak perbezaannya...dua benda yang sama tetapi hasil yang berbeza mengikut keadaan ia dibentuk...

Sementalah arang mudah dimiliki namun berlian hanya yang benara-benar mampu akan memilikinya...

Begitulah kita boleh umpakan kehidupan kita ini, orang yang bijak pasti memilih untuk menjadi seperti berlian bukan...(Kalau macam tu kita kena biasakan diri kita dalam masalah ke???)...

Bukan begitu maksudnya, tetapi bentuklah jiwa dan tautlah hati mencintaiNya...kerana dengan ini tidak kira sebesar mana ujian yang hadir, pasti kita mampu harunginya...Setiasalah berdoa agar dikurniakan hati yang sentiasa dekat denganNya...Umum kita tahu hati manusia sentiasa berbolak-balik kan...

Justeru, ketika diuji ataupun tidak carilah GREEN LIGHT tersebut ...haa...apa itu green light...

Green light ini perumpamaan apa yang kita bersungguh dan gembira untuk lakukan selagi tidak melanggar syariat...Umi yakin berbeza individu ada berbeza green light...contohnya, ada yang suka membuat kerja kebajikan, suka menderma, suka solat sunat, membaca Al-Quran, bersenam, luangkan masa bersama rakan-rakan...(banyak lagi untuk disenaraikan)...

Tidak mustahil green light ini mampu menjadi turning point dalam kita melihat sesuatu dengan positif...

Tidak salah melakukan sesuatu yang kita suka dalam kehidupan ini tetapi perlu diingat pastikan apa yang kita suka itu adalah apa yang Allah suka...

Apa lagi cuba cari green light anda sekarang... (Semoga bermanfaat)...
Keluarga Tetap NO1...



Trend iklan kat televisyen sekarang bukan sahaja mempromosikan produk tapi ada selitkan pengajaran juga...Bagus kan...

Pasti ramai yang dah tengok iklan terbaru dari Nescafe...link iklan ni Umi share kat bawah (selamat menonton)...

Umi tertarik sangat dengan iklan ini, pengajaran dalam iklan ini adalah kepentingan keluarga...
Kadang kala kita sering lupa akan individu di sekeliling kita (lebih tepat lagi keluarga kita)...

Umi suka satu ungkapan ni :

"Kadang kita terasa jauh bukan kerana kita jauh tetapi ianya terlalu dekat..."

Kita yakin mereka sentiasa ada dengan kita...Memang benar ini kerana setiap kali kita perlukan mereka, merekalah orang yang setia disamping kita kan...Tapi kadang kita terlupa bila mereka perlukan kita, di mana kita ketika itu... (Egokan kita)

"Orang kata bila depan mata susah nak hargai, bila dah hilang baru dicari..."

 Umi tahu ramai yang sedar peranan keluarga ni...

- Keluarga ni tempat kita berkongsi suka, duka
- Keluarga tempat kita meminta pertolongan
- Keluarga akan sentiasa sokong kita
- Keluarga tidak akan henti nasihatkan kita
- Keluarga takkan biarkan kita keseorangan

Dan yang paling penting KELUARGA TAKKAN TINGGALKAN KITA WAKTU SENANG ATAU SUSAH...

Kawan hilang boleh cari ganti tetapi sekali kita hilang keluarga takkan ada gantinya...

Sebab itulah kita kena sentiasa hargai masa bersama keluarga kita...Bukan susah pun, cuba tanya khabar mereka...Jika mereka perlukan pertolongan,cuba sedaya mungkin...

Tips eratkan hubungan kekeluargaan...

1. Sentiasa mendoakan mereka
2. Sentiasa bertanya khabar
3. Ambil masa berkongsi cerita dengan mereka
4. Lakukan aktiviti bersama (solat berjemaah, tadarus al-quran, bersenam)
5. Beri hadiah (ingat tarikh2 penting seperti hari jadi)
6. Hulurkan bantuan jika perlu
7. Sentiasa beri semangat dan sokongan
8. Layan mereka dengan sebaiknya

Semoga hidup kita sentiasa bahagia berada disamping keluarga tersayang dengan izinNya...

Iklan Nescafe 2016
https://www.youtube.com/watch?v=NEM_AHuQ7yw








Harga Sebuah Persahabatan yang Tidak Ternilai...


Ramai yang bersahabat, mana mungkin kita hidup di dunia ini bersendirian tanpa insan yang bergelar sahabat.
Tidak dinafikan jika dahulu sahabat kita adalah ibu bapa dan adik beradik kita.
Kemudian apabila menjejakkan kaki ke alam persekolahan, akan ada pula kenalan lain digelar rakan dan rakan baik sehingga ada yang seperti belangkas asyik berkepit 24 jam.
Namun, ada juga persahabatannya terhenti seiring tamatnya musim persekolahan.
Oleh itu, apa sebenarnya erti sebuah persahabatan yang dianjurkan oleh Islam?
Adakah sahabat seseorang yang mempunyai banyak persamaan dengan kita? Atau seseorang yang ada bersama kita ketika kita senang atau susah?
Atau seseorang yang mungkin seakan lupakan kita tetapi doanya tidak putus buat kita?
Kita tinggalkan sebentar soalan ini.

Untuk apa kita bersahabat sebenarnya?

Satu persoalan yang jarang kita tanyakan pada diri kita. Mungkin kurang penting pada kita.
Tetapi sebenarnya matlamat persahabatan itu perlulah jelas agar nilai sebuah persahabatan itu dapat kita raih dan nikmatnya dapat kita rasai.
Mungkin ramai mudah mengatakan, “Aku bersahabat kerana Allah”, namun, sejauh mana kita mampu melaksanakannya.
Jangan kita ingat hanya Cinta memerlukan pengorbanan, persahabatan juga memerlukannya. Fitrah manusia yang dikurniakan emosi.
Di saat persahabatan kita diuji, di sini kita boleh nilai sejauh mana ikhlasnya kita bersahabat. Orang kata kawan ketawa ramai, kawan menangis jarang dijumpai.
Mampukah kita yakin ada di kalangan sahabat kita yang akan ada untuk mendukung kita di saat kita memerlukan mereka?
Jika itu yang kita inginkan, sudah semestinya sahabat kita juga berfikiran yang sama.
Sudah saya utarakan tadi, persahabatan yang tulus adalah benar-benar kerana Allah. Tidak mengharapkan sebarang balasan, hanya untuk memberi.
Tidak ada sebarang rungutan apabila melakukan dengan ikhlas. Sejauh mana kita ikhlas dalam bersahabat hanya Allah yang mampu menilainya. Saya teringat satu kata-kata tentang ikhlas:
“Masih belum ikhlas kalau kita masih boleh mengungkit”.
Indahnya bersahabat kerana Allah, kerana semua yang dilakukan untuk sahabat hanya untuk mengharapkan balasan dariNya. Lalu, untuk apa pujian manusia atau balasan darinya sedangkan ada Allah yang Maha Kaya.
Ketika saya mencoretkan artikel ini, saya teringatkan sahabat saya yang sentiasa mengingatkan kami tentang Allah. Tuturnya tidak lari dari mengharapkan redha Allah.
Pada mulanya,saya seolah-olah malu dengannya, seakan saya dipaksa berbuat baik di depannya.
Namun, ketika saya faham bahawa dia menasihati atas rasa kasih pada sahabat dan untuk kebaikan diri saya juga tanpa mengharapkan sebarang balasan, saya mula mengerti.
Saya pernah terbaca satu petikan bahawa Allah akan mengirimkan orang yang baik jika kita berniat untuk menjadi orang yang baik.
Sebab itu kita harus bijak memilih sahabat kerana sahabat merupakan cerminan diri kita. Oleh itu, bagaimana jika sahabat kita belum seperti yang kita harapkan?
Jawapannya, jangan tunggu sahabat yang baik tetapi jadilah sahabat yang baik itu. In Shaa Allah, kita akan menjadi magnet yang membawa perubahan itu.
Dalam hati setiap hamba Allah pasti ada satu rasa untuk berubah. Itulah fitrah mungkin cara untuk menzahirkannya sahaja perlukan mujahadah.

Jadi dahulu seperti yang diinginkan

Mari sahabatku, kita refleksi diri. Jadilah seperti yang kita impikan.
Dalam memilih pasangan hidup, kita amat behati-hati agar pasangan kita dapat bersama-sama kita menuju redhaNya.
Dalam persahabatan juga wujudkan ciri-ciri sahabat yang diidamkan agar kita dapat sama-sama menikmati indahnya bersahabat keranaNya.
Di sini saya gariskan beberapa ciri yang perlu ada dalam diri seorang sahabat (juga untuk kita yang bergelar sahabat)
  1. Berpegang pada agama (Beragama sahaja tidak cukup kerana cinta pada Allah bukan hanya melalui kata-kata sahaja tetapi melalui perbuatan melaksanakan perintah dan menghindari laranganNya)
  2. Berakhlak (Akhlak ini apa yang terzahir di hati, dan sesungguhnya akhlak yang terpuji ada pada Rasul yang kita cintai, Nabi Muhammad s.a.w)
  3. Sanggup berkorban
  4. Menjaga aib sahabatnya
  5. Sentiasa menasihati dan bersedia menerima teguran

Akhir kalam: nilai sebuah persahabatan yang sebenarnya.
Saya ulang soalan tadi apa sebenarnya erti sebuah persahabatan yang dianjurkan oleh Islam?
Sahabat adalah insan yang selalu di samping kita walau tidak ada di depan mata tapi dalam doanya sentiasa ada untuk kita.
Islam menganjurkan persahabatan yang dilandasi kasih sayang kerana Allah.
Jika itu matlamatnya pasti akan saling ingat-mengingati ke arah kebaikan dan bersama-sama mencegah kemungkaran. Indahnya hidup bersahabat bukan?
Kesimpulannya, persahabatan itu cukup indah bagi mereka yang benar-benar megerti akan nilainya. Sedarlah wahai sahabat adalah antara hadiah terbaik dari Allah untuk kita.
Jangan sesekali bersahabat kerana keperluan semata-mata kerana apa sahaja yang kita lakukan tidak akan lari dari Yang Maha Melihat.
Manusia memang tidak lari dari kesilapan tetapi itu tidak menjadi alasan untuk kita tidak berusaha berubah ke arah kebaikan. Mari audit diri.
Cuba hayati bait-bait lirik lagu nyanyian kumpulan Brothers yang berjudul Teman Sejati ini;
Selama ini ku mencari-cari teman yang sejati buat menemani perjalanan ini,
Bersyukur kini padaMu Ilahi teman yg dicari selama ini telah kutemui,
Dengannya disisi perjuangan ini senang diharungi bertambah murni kasih Illahi,
KepadaMu Allah ku panjatkan doa agar berkekalan kasih sayang kita,
Kepadamu teman ku pohon sokongan, pengorbanan dan pengertian,
Telah kuungkapkan segala-galanya.

(Hasil tulisan Umi yang diterbitkan dalam blog AkuIslam)
 http://akuislam.com/blog/perkongsian-artikel/nilai-sebuah-persahabatan/
Bagaimana Mengawal Nafsu Amarah dan Menghapuskan Dendam...


“Aku benci dia”
“Aku tidak mahu tengok muka dia lagi”
“Aku tidak akan sesekali maafkan dia”
“Aku akan buat dia rasa apa yang aku rasa”
Pernah atau tidak terlintas ungkapan-ungkapan di atas meniti di bibir kita atau berkunjung di benak hati dan fikiran kita?
Jika ya, apakah sebenarnya perasaan kita ketika itu? Marah? Benci? Sedih?
Jika tidak, syukurlah kerana jiwa kita bebas daripada belenggu dendam.

Perasaan dendam membuatkan kita tidak senang hati.

Mendengarnya sahaja sudah membuat jiwa resah dan terusik.
Pasti pelbagai perasaan dirasa yang sudah tentunya berbaur negatif. Dendam itu memakan jiwa, merosakkan rasa dan menyesakkan diri.
Seseorang yang menyimpan dendam pasti berada dalam keadaan tidak senang hati. Mereka merasakan semua serba tidak adil dan perlukan tindakan untuk menuntut bela.
Sementalah ungkapan bibir dan hati terus mengucapkan kata-kata yang tidak enak didengar.
Sifat dendam sangat berkait dengan perasaan marah. Sebagai manusia sememangnya kita dikurniakan pelbagai perasaan.
Rasa gembira, sedih, kecewa, teruja, marah dan pelbagai lagi. Perasaan ini sering berubah-rubah. Namun, perasaan ini perlu ada untuk mencorakkan kehidupan kita.
Dari Abu Hurairah r.a:
“Sesungguhnya seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w : Ya Rasulullah nasihatilah saya. Beliau bersabda: Jangan kamu marah. Dia menanyakan itu berkali-kali. Maka baginda bersabda, Jangan engkau marah”.
Seseorang yang dalam keadaan marah, emosinya terganggu, fikirannya celaru dan hilang pertimbangannya. Ketika itulah percakapannya mendahului apa yang difikirkan oleh akalnya.
Seperti melepaskan lelah yang panjang. Tanpa berfikir semua kata-kata yang dilontarkan kepada individu yang dimarahinya begitu menyakitkan.
Imam Ghazali pernah bertanyakan kepada anak-anak muridnya:
“Apakah yang paling tajam sekali di dunia ini?”
Mereka menjawab: “Pedang”
Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa yang paling tajam sekali di dunia ini adalah lidah manusia. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
Benarlah sabda Nabi Muhammad s.a.w
“Amal yang paling dicintai Allah s.w.t adalah menjaga lisan”
(Hadis riwayat Baihaqi)
Maha Kuasa Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan. Cukup sempurna ciptaan Allah.
Antara kekuasaan Allah dapat dilihat dalam penciptaan anggota badan manusia. Sungguh setiap ciptaan Allah itu tidak sia-sia dan pasti ada hikmahnya.
Allah menciptakan manusia dengan dua telinga dan satu mulut supaya kita lebih banyak mendengar daripada berbicara.

Bagaimanakah cara untuk menahan marah?

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Apabila salah seorang dari kamu marah, dan ketika itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring”
(Hadis riwayat Muslim)
“Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api. Maka apabila kamu marah hendaklah kamu berwudhuk”
(Hadis riwayat Adu Daud)
Apabila kita hendak marah, segeralah beristighfar sehingga hilang perasaan marah tersebut.
Diam seketika, sabar. Kemudian, fikirkan tentang perkara tersebut. Adakah berbaloi untuk melontarkan kemarahan?
Jika terlanjur melepaskan kemarahan, segeralah beristighfar. Mohonlah keampunan daripada Allah s.w.t dan kekuatan untuk menghadapi situasi tersebut walaupun perit.

Menahan marah adalah salah satu jalan mendapat ketenangan hati

Sabda Rasulullah s.a.w
“Mahukah kamu aku beritahukan perkara yang dengannya Allah memuliakan seseorang dan mengangkat darjat ketinggiannya? Mereka menjawab, ‘Bahkan ya Rasulullah’. Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Berlemah-lembutlah terhadap orang yang mengetahui kamu, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, berikanlah kepada orang yang tidak pernah memberi kepada kamu dan hubungkanlah silaturrahim dengan orang yang memutuskan silaturrahim dengan kamu”
(Hadis riwayat At-Tabrani dan Al-Bazzar)
Seseorang yang memaafkan kesalahan orang lain, sebenarnya sedang membantu memperbaiki dirinya untuk menjadi lebih baik.
Malah dia akan dihormati dan disayangi oleh orang sekelilingnya. Ingatlah sifat dendam dan marah itu jika dibiarkan bersarang di dalam diri pasti menghitamkan hati.
Jadi bersihkanlah ia dengan kata-kata maaf, redha dan taubat kepada Illahi.
Buangkanlah sifat pemarah dan dendam ini dalam diri kita agar hidup kita sentiasa tenang.

Marah itu nafsu. Raihlah ganjaran menahan marah

Sesungguhnya orang yang dapat menahan marah itu adalah individu yang hebat dan akan dikurniakan ganjaran yang lumayan daripada Allah s.w.t.
“Bukanlah orang yang kuat itu yang dapat membanting lawannya, kekuatan seseorang itu bukan diukur dengan kekuatan tetapi yang disebut orang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya pada waktu marah”.
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
“Barangsiapa yang menahan marah, padahal ia mampu untuk melampiaskannya, maka Allah akan menyerunya di hadapan seluruh makhluk pada hari kiamat, hingga ia dipersilakan oleh Allah Taala untuk memilih bidadari yang ia sukai”.
(Hadis riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Anda akan menjadi manusia yang cukup kuat apabila dapat memaafkan

Belajarlah mendidik diri untuk mengawal kemarahan.
Jangan wujudkan walau sedikit pun perasaan dendam dalam diri kita. Dengan memaafkan orang lain bererti anda cukup kuat untuk bisa memahami bahawa manusia tidak sempurna dan bisa berbuat salah.
Dengan memaafkan juga langkah anda menjadi ringan dalam meraih impian.
Sudahkah kita bersedia memperbaiki diri? Jom jadi pemaaf.

(Hasil tulisan Umi sendiri yang diterbitkan dalam blog AkuIslam)
 http://akuislam.com/blog/renungan/menahan-marah-menghapus-dendam/#
Apabila Berbicara Tentang Jodoh....




BILA DITANYA MENGAPA LAMBAT JODOH MU?

“Mengapa jodoh saya lambat?” tanyanya penuh sayu.
Saya terdiam. Tunduk. Gadis berusia hampir 40-an itu terus menagih jawapan. Rakannya di sebelah membisu sejak tadi. Hanya setia menemani.
“Saya tidak tahu. Tetapi yang pasti, itu juga satu kebaikan.”
“Kebaikan?” tanyanya kehairanan.
“Ya. Kebaikan. Jodoh itu soal takdir yang telah ditentukan di alam rahim lagi,” jelas saya.
“Saya sayu, kadangkala malu. Berbagai-bagai gelar yang diberikan oleh sebahagian masyarakat buat wanita seperti saya; andalusia, andartu dan macam-macam lagi. Paling malu bila ditanyakan soalan, sudah kahwin ke belum?”
Dia Memberi Pilihan terbaik
Saya tercari-cari kata untuk memberi jawapan. Soalan ini jika disusuri akan kembali jua ke pangkalnya yakni soal akidah. Soalan ini akan menyentuh soal takdir. Apabila menyentuh takdir tentunya melibatkan soal akidah.
Sebelum memahami takdir-Nya, kita perlu mengenali Allah terlebih dahulu. Lalu saya teringat akan kata-kata Ibn ‘Ataillah dalam satu hikmahnya,“mestinya ujian terasa ringan ketika engkau mengetahui bahawa Allahlah yang memberimu ujian. Dia yang menetapkan takdir atasmu ialah Dia yang selalu memberimu pilihan terbaik.”
“Saya merasai apa yang cik rasakan. Namun sebenarnya tidak ada apa yang hendak dimalukan. Dalam soal ini cik tidak melakukan sebarang dosa. Bukannya cik mendedahkan aurat, bergaul bebas atau melanggar batas-batas syariat dan akhlak. Tidak ada apa yang hendak dimalukan. Lambat dapat jodoh bukan sesuatu yang berdosa untuk dimalukan. Itu takdir.”
“Tetapi saya sering ditanya soal jodoh.”
“Mereka yang menyoal kerana memang tidak tahu atau ingin tahu, tidak mengapa. Tetapi kalau pertanyaan itu bertujuan memalukan dan menghina, itu memang satu kesalahan. Mereka yang sedemikian sebenarnya bukan sahaja menghina seorang manusia yang tidak bersalah tetapi lebih daripada itu mereka telah mempersoalkan takdir Allah!” jawab saya memberi penjelasan.
Rakan di sebelahnya mengangguk-angguk. Saya tidak pasti kalau-kalau dia juga mengalami cabaran yang sama.
“Oh, kalau begitu mereka yang menghina diri mereka sendiri, bukan menghina saya,” tambahnya.
Saya mengangguk berkali-kali. Mengeyakan. Syukur, dia mula faham.
“Tetapi mengapa ustaz katakan tadi yang semua ini satu kebaikan?”
“Apa yang ditakdirkan Allah semua kebaikan,” balas saya cepat.
“Mengapa?’
“Kerana Allah sayangkan hamba-Nya.”
“Saya belum nampak begitu.”
“Saya pun belum nampak juga.”
“Jadi bagaimana ustaz boleh beranggapan begitu?”
“Sangka baik. Kita perlu sangka baik kepada Allah walaupun ada kalanya hati kita belum nampak kebaikan di sebalik takdir-Nya. Tetapi kita tetap yakin pasti ada kebaikan. Cuma kita sahaja yang belum nampak.”
Ada Kebaikannya
“Agaknya apa kebaikan di sebalik lewatnya jodoh saya ini,” tanyanya lagi.
Saya terdiam lagi. Tersentak dengan pertanyaan itu. Mana mampu ilmu manusia yang terbatas dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha Luas.
Namun, tidak salah kalau akal kita terus mencari kebaikan. Inilah mungkin yang disebut think positive seperti yang selalu dipesankan pakar-pakar motivasi.
“Mungkin Allah melambatkan, justeru untuk memberi jodoh yang terbaik buat saudari nanti.”
“Lagi?”
“Mungkin untuk memberi masa yang lebih lama buat saudari bersedia menjadi isteri yang solehah kelak. Bukan mudah untuk menjadi isteri solehah.”
“Hmm,” gumamnya sambil tersenyum.
Saya terus memandang ke bawah.
“Apa kata kalau saya ditakdirkan terus tidak bertemu jodoh sehingga meninggal dunia? Masih ada kebaikan jugakah?” tusuknya tiba-tiba.
“Saya tidak mampu membaca hikmah di sebalik takdir. Namun seperti yang saya katakan sebelum ini, apa jua yang ditetapkan Allah pasti baik. “
“Sekali lagi, kalau saya mati sebelum berkahwin, apakah ada kebaikannya buat saya?” tanyanya semakin mendesak.
“Insya-Allah.”
“Apa kebaikannya?”
“Saudari akan selamat daripada menjadi isteri yang derhaka.”
Spontan dan secara tiba-tiba jawapan itu meluncur dari mulut saya. Ketika itu saya teringat satu hadis daripada Rasulullah yang pernah saya dengar semasa dalam kelas pengajian bab munakahat puluhan tahun yang lalu; “ … aku melihat kebanyakan penghuni neraka ialah wanita.”
Para sahabat pun bertanya: “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Kerana kekufuran mereka.”
Kemudian ditanya lagi: “Apakah mereka kufur kepada Allah?”
Baginda menjawab: “Mereka kufur terhadap suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalau engkau berbuat baik kepadanya sekian lama kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikit pun kebaikan pada dirimu.’” (Riwayat al-Bukhari)
Tanda Kasih Allah
Melihat dia diam saya menyambung, “jika saudari ditakdirkan tidak berkahwin anggaplah itu kasih sayang Allah yang mahu menyelamatkan saudari daripada menjadi isteri yang derhaka. ”
Pada ketika juga saya teringat satu soalan daripada seorang anak yatim piatu ketika saya memberi kuliah bertajuk Rasul Anak Yatim. Semasa dia bertanya, “mengapa Allah takdirkan saya menjadi yatim piatu ketika usia saya sebegini muda?”
Spontan saya menjawab, “syukurlah kerana Allah hendak menyelamatkan kamu daripada menjadi anak yang derhaka. Bukan mudah menjadi anak yang soleh.” Begitu jugalah jawapan saya ketika ditanya, “Mengapa saya buta?” “Mengapa Allah jadikan saya bisu?”
Apalagi yang kita boleh kita katakan sebagai hamba Allah? Kita hanya mampu pasrah dan menyerah atas keyakinan Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mengetahui. Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding diri kita sendiri.
Bukankah Allah berfirman: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah 2: 216)
“Apakah kerana wajah saya tidak cantik?”
Saya tersenyum. Terasa malu pula ketika ditanya begitu. Namun saya tahu, dia benar-benar inginkan kebenaran. Justeru inginkan kebenaran maka dia tidak segan silu lagi bertanya begitu.
“Saya tidak tahu. Tetapi bukankah kecantikan itu sangat relatif sifatnya? Kecantikan itu ditakrif dan dilihat dari dimensi yang berbeza-beza. Cantik di mata saudari, tidak semesti cantik di mata orang lain. Begitulah sebaliknya. Namun, soal jodoh ini bukan ditentukan oleh cantik atau tidaknya seseorang,” ujar saya.
Lega hati kerana dapat menjawab begitu. Itulah hakikatnya. Dalam pengalaman saya, ada wanita yang kurang cantik tetapi telah bertemu jodohnya. Ada pula yang lebih cantik, tetapi belum juga bertemu jodohnya.”
Untuk memahamkan hakikat itu saya kongsikan satu hadis panjang ada yang menjelaskan tentang ketentuan jodoh dan kematian. Kebetulan (sebenarnya tidak ada kebetulan di sisi Allah), hadis itu telah saya muatkan dalam buku Mukmin Profesional yang berada di tangan saya ketika itu.
Rasulullah bersabda, “sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya sebagai setitis mani selama 40 hari, kemudian berubah menjadi setitis darah selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal daging selama 40 hari.
Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan padanya roh dan dia diperintahkan untuk menetapkan empat perkara; rezekinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya.
Demi Allah yang tidak ada Ilah selain-Nya, sesungguhnya antara kalian akan ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta. Namun telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka.
Sesungguhnya antara kalian akan ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga. (Riwayat al-Bukhari)
“Alhamdulillah, semoga saya dapat menerimanya dengan rela hati. Ilmunya sudah saya terima. Mudah-mudahan kebenarannya dapat saya hayati dan rasai. Ya, saya sepatutnya bersyukur.”
“Bersyukur? Bagaimana?” Giliran saya pula bertanya.
“Buat pengetahuan ustaz, pernah ada orang menyarankan pelbagai cara untuk mempercepatkan jodoh. Ada antaranya melibatkan ilmu hitam. Saya tahu itu syirik. Alhamdulillah, walaupun terdesak saya tidak akan sekali-kali menggadaikan akidah.”
“Tahniah saudari. Akidah yang benar lebih bernilai daripada segala-galanya. Apa gunanya mendapat suami, tetapi dengan cara yang menjejaskan akidah. Mudarat syirik itu lebih parah daripada tidak mendapat jodoh.”
Mulakan dengan Sedekah
Dia diam. Menungnya panjang. Dalam hati saya mendoakan agar dia bertemu jodohnya. Insya-Allah, dia wanita solehah. Namun, sekuat mana pun iman kita, ada ketikanya ujian akan menyebabkan kita celaru dan keliru.
Justeru itulah pentingnya ada usaha berpesan-pesan dalam perkara kebenaran dan kesabaran. Apalagi soal takdir yang begitu seni dan misteri liuk lentoknya. Namun, dituntut untuk berusaha dan bertawakal.
“Jom kita usahakan bersama untuk terus mencari,” kata saya.
“Alhamdulillah kerana ustaz sedia membantu.”
Dalam diam saya berdoa. Sungguh-sungguh.
“Mari kita mulakan dengan bersedekah.”
“Bersedekah? Bukan berdoa?” tanyanya.
“Sedekah itu lebih tajam dan mustajab daripada doa.”
“Kemudian?”
“Teruskan mujahadah untuk menjadi wanita solehah sambil menagih janji Allah. Mari kita gandakan usaha menjadi baik berbanding mencari yang baik. Insya-Allah, wanita solehah layak mendapat lelaki yang soleh sebagai hadiah daripada Allah.”
“Dan jika yang soleh itu belum datang juga, Allah akan menentukan sesuatu yang lebih baik untuk itu,” katanya sambil tersenyum.
Saya senyum. Syukur dia faham. Mudah-mudahan Allah memberikannya hati yang tabah untuk mendepani masalah. Itulah hati emas. Itulah jodohnya yang terbaik!

(Post ini adalah hasil tulisan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi)
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1425952914087865&id=115611608455342
Powered by Blogger.